Saturday, September 19, 2009

Isu Sebat Ke Atas Kartika

Isu sebat ke atas saudari Kartika pada pandangan saya menggambar ketidakfahaman di kalangan sebahagian masyarakat Islam dan bukan Islam terhadap perundangan jenayah Islam di Malaysia, tiada sokongan menyeluruh masyarakat Islam terhadap perundangan jenayah Islam di Malaysia, dan tiada sokongan masyarakat bukan Islam terhadap perundangan tersebut.Secara ringkas, saudari Kartika didapati bersalah oleh mahkamah Syariah kerana melakukan kesalahan meminum arak. Hukuman yang diputuskan mahkamah tersebut ialah hukuman sebatan sebanyak 6 kali sebatan. Di pihak saudari Kartika, beliau memutuskan untuk tidak menggunakan haknya untuk membuat rayuan ke atas hukuman tersebut.Persoalannya adakah mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan kesalahan meminum arak dan menjatuhkan hukuman tersebut? Jawapan yang ringkas ialah ya. Alasan pada jawapan ini boleh didapati dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Perkara ini terletak dalam bidang kuasa agama Islam di bawah naungan para sultan bagi negeri-negeri yang bersultan dan Yang Dipertuan Agong bagi negeri-negeri yang tidak bersultan.Oleh itu, pada pandangan saya mahkamah Syariah dalam kes saudari Kartika telah menggunakan bidangkuasa yang telah diperuntukkan berdasarkan bukti yang telah didebatkan semasa perbicaraan.Saya telah berpandangan bahawa isu ini menggambarkan ketidakfahaman di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam terhadap perundangan jenayah Islam di Malaysia. Di kalangan masyarakat Islam, masih ada yang tidak mengetahui bahawa meminum arak bukan sahaja merupakan kesalahan keagamaan tetapi ada hukuman duniawi yang khusus untuk mereka. Ketidakpengetahuan ini juga menghantui di kalangan masyarakat bukan Islam. Sebagai contoh, ada kenyataan-kenyataan seperti: “...kenapa minum arak kena sebat? Minum arak lebih teruk daripada merogol?..” dinyatakan seorang yang mengaku beragama Islam, dan “...whipping for drinking is a step backward...” dinyatakan seorang yang bukan beragama Islam.Pada hakikatnya, wujudnya hukuman duniawi untuk mereka yang didapati bersalah meminum arak berdasarkan bukti yang jelas dalam as-Sunnah yang merupakan sumber kedua dalam perundangan jenayah Islam. Para ulamak yang membuat kajian dan menghasilkan pandangan berkenaan perkara ini mungkin berbeza pandangan daripada sudut jenis hukuman. Akan tetapi, mereka bersetuju bahawa hukuman duniawi untuk kesalahan meminum arak ini memang ada.Saya juga berpandangan bahawa isu ini juga telah menjurus kepada tiada sokongan menyeluruh masyarakat Islam terhadap perundangan jenayah Islam di Malaysia, dan tiada sokongan menyeluruh tersebut daripada masyarakat bukan Islam. Kemungkinan ini berlaku akibat tiada maklumat yang tepat tentang isu ini. Oleh itu, saya menyaran agar kita semua merujuk kepada penulisan-penulisan dan pandangan-pandangan mereka yang pakar dalam isu ini dan bukan membuat suatu kesimpulan berlandaskan rasional kepentingan keindividuan dan ketidakfahaman falsafah keilmuan.

1 comment:

Anonymous said...

Salam. en. akbar, ada singgah blog dr. asri- http://drmaza.com? kalau belum, jenguk2 la.. kalau dah, bagus la.. banyak maklumat.. beliau ada komen isu kartika. menarik jugak.. encik lihat sekali video youtube beliau "isu kartika". - masyitahms