Showing posts with label Islamic Faith. Show all posts
Showing posts with label Islamic Faith. Show all posts

Monday, March 8, 2010

Syeikh Daud al-Fathani: Sebab Ilmu Diperolehi

Sebab-sebab sesuatu ilmu itu diperolehi ialah tiga iaitu, pancaindera, khabar yang shadiq, dan aqal.

Melalui pancaindera, seseorang itu akan mengetahui segala suara melalui pendengaran telinga, segala rupa dan warna melalui penglihatan mata, segala bauan melalui penggunaan hidung, segala rasa melalui penggunaan lidah, dan segala suasana panas dan sejuk melalui anggota tubuh badan yang lain. Akan tetapi, ilmu yang didapati ialah terhad kepada penggunaan pancaindera tersebut. Sebagai contoh, segala suara hanya didapati melalui pendengaran telinga dan bukan melalui penglihatan mata.

Khabar yang shadiq pula terbahagi kepada dua iaitu, khabar yang mutawatir dan khabar Rasulullah melalui mukjizat.

Khabar yang mutawatir ialah yang terhasil daripada percakapan sesuatu kumpulan yang muwafakat dan mustahil untuk mereka melakukan pendustaan. Khabar ini diwajibkan ke atas ilmu yang tidak berkehendak kepada analisa dan usaha seperti pengetahuan berkenaan para raja, kerajaan yang terdahulu seperti kerajaan nabi Sulaiman a.s. Maka pengetahuan tentang perkara ini tidak memerlukan analisa dan bebas daripada sebarang elemen pendustaan.

Khabar Rasulullah melalui mukjizat terbahagi kepada dua iaitu, khabar yang dikuatkan dengan mukjizat dan khabar yang keluar melalui percakapan Rasulullah. Khabar ini diwajibkan ke atas ilmu berasaskan analisa daripada segala dalil.

Kedua khabar yang mutawatir dan khabar Rasulullah menghasilkan keyakinan. Cuma yang berbeza ialah segala ilmu berasaskan khabar Rasulullah dihasilkan melalui analisa mereka yang pakar dalam ilmu ini. Sedangkan segala ilmu berasaskan khabar yang mutawatir tidak disyaratkan begitu.

Aqal juga merupakan punca sesuatu ilmu itu diperolehi. Ia juga menerbitkan keyakinan seperti kita mengetahui bahawa satu itu setengah daripada dua. Ini dihasilkan melalui dalil melalui pemerhatian.

Oleh itu, integrasi ketiga-tiga sebab ilmu diperolehi di atas tidak dapat dielakkan demi merealisasikan peranan individu sebagai hamba Allah s.w.t di dunia ini.

Tuesday, March 2, 2010

Syeikh Daud al-Fathani: Berbeza Individu Berbeza Pemahaman

Pemahaman atau kepercayaan seseorang terhadap Tuhan berbeza. Ada yang percaya seratus-peratus setelah diberitahu tanpa mengetahui sebarang dalil atau bukti. Ini dinamakan al-muqallid. Ada yang percaya seratus-peratus setelah diberitahu dengan mengetahui sebarang dalil atau bukti. Ini dinamakan al-'arif. Ada yang percaya seratus peratus tanpa perlu diberitahu atau perlu mengetahui sebarang dalil atau bukti. Ini dinamakan al-khawas. Al-khawas mendapat kepercayaan seratus-peratus tersebut melalui penyaksian atau musyahadah mata hati. Penyaksian atau musyahadah mata hati ialah berkaitan Tajalli Tuhan. Tajalli Tuhan merujuk kepada tanda kebesaran Tuhan dan bukan kepada zat Tuhan. Sedalam mana penyaksian atau musyahadah mata hati bergantung kepada sejauh mana Tajalli Tuhan berlaku ketika penyaksian atau musyahadah tersebut. Tajalli Tuhan hanya pada mata hati dan bukan pada mata fizikal yang mana mata fizikal tidak mampu untuk menerima Tajalli tersebut sebagaimana yang berlaku kepada nabi Musa a.s. Oleh itu, perbezaan pemahaman atau kepercayaan seseorang terhadap Tuhan ialah suatu kemestian sebagaimana kebenaran yang dinyatakan dalam al-Qur'an.

Tuesday, February 16, 2010

Imam al-Ghazali: 4 Paksi Dalam Usul Fiqh

Empat paksi utama dalam usul fiqh boleh dikiaskan dengan proses penanaman sesuatu tanaman. Proses itu melibatkan empat paksi utama iaitu hasil tanaman, benih tanaman, proses penanaman dan penanam. Hasil tanaman ialah hukum seperti wajid, harus, dan makruh. Benih tanaman ialah dalil-dalil berkaitan dari al-Qur'an, as-Sunnah, dan ijma' sahaja. Proses penanaman ialah kaedah mengeluarkan hukum dengan cara seperti pemahaman, pengaturan, penhajatan, dan logik pemikiran. Penanam ialah seorang mujtahid yang mengeluarkan hukum berdasarkan perspektifnya dan perspektifnya diakui dan diikuti seorang muqallid atau pengikutnya.

Monday, February 8, 2010

Syeikh Daud al-Fathani: Mengenal Tuhan Suatu Kefardhuan

Fokus utama daripada ilmu usuluddin ialah mengenal Tuhan , Allah s.w.t. Mengenal Tuhan merupakan suatu kefardhuan ke atas mereka yang sudah mencapai umur dewasa dan berakal. Kaedah mengenal Tuhan sudah pasti menggunakan kaedah yang tepat yang berasaskan pemahaman terhadap dua sumber utama agama Islam iaitu al-Qur'an dan juga as-Sunnah. Pemahaman terhadap kedua sumber ini yang menunjukkan jalan ke arah mengenal Allah s.w.t dianggap akan mengangkat tirai keraguan seseorang itu dan menukarkan keraguannya kepada keyakinan yang jelas dalam proses mengenal Tuhan.

Sebagai contoh, kewujudan alam semesta yang kita saksikan ini merupakan suatu tanda yang menunjukkan keadaan Tuhan yang yang mencipta alam semesta tersebut. Ia menunjukkan Tuhan yang amat berkuasa, mengetahui, dan menjadikan segala di langit dan bumi yang kita diami sekarang. Perkara ini merujuk kepada suatu tesis iaitu Tuhan yang wajib wujud, qadim, dan baqi ialah yang menguasai segala yang wujud dan yang amat nyata daripada setiap sesuatu. Oleh itu suatu kedangkalan pemahaman kita bahawa Tuhan terdinding dengan alam semesta kerana yang dianggap terdinding itu merupakan yang Maha Gagah ke atas hamba-Nya. Walaupun Tuhan tersembunyi tetapi sebenarnya terlebih zahir dan nyata daripada setiap sesuatu. Bahkan, yang terdinding sebenarnya ialah segala ciptaan-Nya terutamanya kita. Kita sebenarnya terdinding daripada Tuhan. Ini kerana cahaya Tuhan itu terlampau zahir dan nyata sehingga kita terdinding daripada merasai dan melihatnya. Asas ini boleh dikaitkan dengan anjuran daripada al-Qur'an yang menegaskan bahawa cahaya Tuhan itu terlebih hampir daripada urat leher diri kita sendiri. Persoalan kenapa kita terdinding daripada merasai dan melihat cahaya Tuhan berkaitan dengan hati kita yang penuh keraguan itu. Sekiranya keraguan itu dibuang maka ketika itu kita dibukakan hakikat kefahaman menjurus kearah merasai dan melihat cahaya Tuhan.

Sunday, January 24, 2010

Syeikh Daud al-Fathani: Asas Sepuluh Perkara

Syeikh Daud al-Fathani menganjurkan agar kita memahami sepuluh perkara terlebih dahulu sebelum menganalisa secara mendalam ilmu tauhid atau ilmu usuluddin. Sepuluh perkara yang dicadangkan beliau tersebut berkenaan had, isi, pelopor, nama, kesudahan, hukum, permasalahan, sumber, faedah, dan nisbah.

Beliau berpandangan bahawa had ilmu tauhid atau ilmu usuluddin iaitu suatu ilmu berkaitan aqidah keagamaan yang di ambil daripada pelbagai dalil atau pelbagai bukti yang yakin atau kukuh.

Berkaitan isi ilmu tauhid atau usuluddin, beliau mengaitkannya dengan zat Allah s.w.t dan zat segala para nabi dan rasul-Nya dari konteks wajib, mustahil, dan harus.

Pelopor bidang ilmu tauhid atau ilmu usuluddin menurut pandangan beliau tidak lain tidak bukan Abu Hassan al-Asy'ari r.a. Beliau menceritakan bahawa Abu Hassan r.a. yang pada mulanya mendalami ilmu tauhid berasaskan fahaman tauhid aliran muktazilah telah meninggalkan fahaman tersebut setelah mendapat petunjuk Allah s.w.t. Maka Abu Hassan r.a. dianggap beliau sebagai individu pertama yang mempelopori ilmu ini yang berasaskan al-Qur'an, as-Sunnah, dan ijma' para Sahabat Nabi Muhammad s.a.w.

Nama bagi ilmu tauhid atau ilmu usuluddin menurut pandangan beliau adalah pelbagai seperti ilmu tauhid, ilmu usuluddin, ilmu sifat, ilmu aqidah, dan ilmu kalam.

Beliau berpandangan bahawa kesudahan ilmu tauhid atau ilmu usuluddin ialah kelebihan untuk membezakan antara aqidah yang sahih dan fasid.

Berkaitan hukum ilmu tauhid atau ilmu usuluddin, beliau berpandangan bahawa hukumnya wajib diketahui oleh setiap individu yang mukallaf.

Berkaitan permasalahan ilmu tauhid atau ilmu usuluddin, beliau memberi contoh-contoh permasalahan berkaitan jauhar dan 'aradh, sifat-sifat Tuhan, dan sebagainya.

Sumber ilmu tauhid atau ilmu usuluddin menurut pandangan beliau ialah al-Qur'an dan as-Sunnah.

Beliau berpandangan bahawa faedah-faedah ilmu tauhid atau ilmu usuluddin ialah kebahagiaan di dunia dan di akhirat, di masukkan ke dalam syurga yang abadi, serta dapat melihat akan wajah Allah s.w.t yang tidak seperti-Nya sesuatu.

Akhirnya, nisbah ilmu tauhid atau ilmu usuluddin ini ialah sebahagian ilmu agama Islam.