Showing posts with label Islamic Jurisprudence. Show all posts
Showing posts with label Islamic Jurisprudence. Show all posts

Tuesday, December 7, 2010

Imam al-Ghazali: Pengetahuan Sesuatu Perkara

Suatu perkara boleh diketahui dengan dua kaedah. Kaedah pertama ialah pengetahuan ke atas zat sesuatu perkara seperti jisim, alam, baru atau hadis, dan lama atau qadim. Kaedah kedua ialah menisbahkan sesuatu perkara dengan perkara yang lain dengan penafian atau pengisbatan. Sebagai contoh, alam ialah suatu perkara dan begitu juga lama atau qadim. Dengan menggabungkan dua perkara ini dengan penafian, maka terjadilah suatu ungkapan iaitu bukan alam ini lama atau qadim. Perbezaan antara dua kaedah ini berkaitan dengan kebenaran dan kekarutan atau pembohongan. Kaedah kedua amat memerlukan kebenaran dan kekarutan atau pembohongan. Amat mustahil untuk kebenaran atau kekarutan di amalkan dalam kaedah pertama. Sebagai contoh, apabila seseorang itu mengatakan lama atau qadim, tidak ada kebenaran dan kekarutan atau pembohongan atas ungkapan ini. Akan tetapi, apabila kaedah kedua digunakan seperti seseorang itu mengatakan bukan alam itu lama atau qadim, maka kebenaran dan kekarutan atau boleh digunakan untuk menentukan status ungkapan ini. Segala perkara di atas boleh dikaitkan dengan pengetahuan. Pengetahuan berkait rapat dengan pengenalan atau makrifah, pengilmuan, pengambaran, dan pengesahan. Semua pengilmuan memerlukan pengesahan. Pengenalan atau makrifah sesuatu perkara terbahagi kepada dua. Yang pertama ialah pengenalan atau makrifah sesuatu perkara yang tidak memerlukan perbahasan. Sebagai contoh, lafaz perkataan perkara wujud tidak memerlukan perbahasan. Yang kedua ialah pengenalan atau makrifah sesuatu perkara yang memerlukan perbahasan dalam ruang lingkup yang munasabah.

Tuesday, January 26, 2010

Imam al-Ghazali: Had Dan Martabat Usul Fiqh

Ilmu usul fiqh dan ilmu fiqh adalah saling berkaitan antara satu sama lain. Kadang-kala terdapat kesalah fahaman terhadap kedua-dua ilmu ini. Ilmu fiqh secara umum lebih memfokuskan kepada segala hukum berkaitan dengan segala perbuatan seorang yang mukallaf sahaja. Bahkan ilmu ini tiada berkaitan dengan ilmu-ilmu lain seperti ilmu usuluddin atau ilmu falsafah. Akan tetapi, ilmu usul fiqh lebih menjurus kepada autoriti dan penghasilan sesuatu hukum secara umum. Sebagai contoh, fokus ilmu usul fiqh lebih kepada al-Qur'an, as-Sunnah, dan ijma' secara umum. Walaubagaimanapun, harus difahami ilmu fiqh juga menjurus kepada autoriti dan penghasilan sesuatu hukum tetapi secara khusus. Sebagai contoh, autoriti dan penghasilan hukum untuk kontrak perkahwinan tanpa wali adalah bersifat khusus dan bukan umum. Ini kerana hukum tersebut lebih memfokuskan kepada autoriti-autoriti khusus yang ada di dalam al-Qur'an, as-Sunnah, dan ijma'.

Perbandingan antara ilmu usul fiqh dan ilmu-ilmu lain juga menunjukkan martabat ilmu usul fiqh. Ilmu usul fiqh sebagaimana ilmu fiqh dan ilmu hadis sebagai contoh memberi kesan secara khusus sahaja. Para ulamak usul hanya memfokuskan kepada kaedah mengeluarkan hukum sahaja. Begitu juga para ulamak fiqh memfokuskan kepada hukum melibatkan perbuatan mukallafin sahaja. Bahkan para ulamak hadis hanya memfokuskan kepada kaedah mengisbatkan sesuatu hadis sahaja. Akan tetapi, ilmu usuluddin memberi kesan secara menyeluruh. Para ulamak usuluddin banyak memfokuskan kepada isu-isu umum seperti maujud, jauhar, dan 'aradh. Oleh itu, ilmu usuluddin mempunyai martabat paling tinggi berbanding ilmu-ilmu lain terutamanya ilmu usul fiqh. Ini kerana ilmu usuluddin merupakan ilmu agama yang kesannya menyeluruh. Oleh sebab itu, mereka yang ingin mendalami ilmu usul fiqh seharusnya mendalami ilmu usuluddin.