Showing posts with label Islamic Family Law. Show all posts
Showing posts with label Islamic Family Law. Show all posts
Sunday, January 24, 2010
Pertunangan: Sah Atau Moral Sahaja?
Baru-baru ini saya terbaca di dalam suratkhabar tempatan tentang tindakan seorang Muslim mengambil tindakan terhadap bekas tunangnya di sebuah mahkamah Syariah. Beliau ingin memohon ganti rugi daripada bekas tunangnya kerana memutuskan pertunangan tersebut. Ini merupakan suatu tindakan yang jarang dilakukan kerana menurut undang-undang keluarga Islam, pertunangan bukan merupakan suatu kontrak sah tetapi hanya suatu kontrak moral sahaja. Ini bermakna pertunangan boleh diputuskan dan tiada nilai perundangannya. Yang berkaitan dengan putus pertunangan hanyalah berkenaan persoalan pemulangan balik barang-barang semasa pertunangan sahaja. Tindakan meminta ganti rugi dalam pertunangan ini walaubagaimanapun dibenarkan dalam undang-undang keluarga sivil. Undang-undang keluarga sivil menganggapnya sebagai suatu kontrak sah. Jumlah ganti rugi akan ditentukan mahkamah sivil tersebut. Persoalannya sama ada beliau mendapat inspirasi daripada amalan undang-undang sivil dan ingin mencuba nasib di mahkamah Syariah pula. Pada pandangan saya, kalau sesebuah pasangan itu sudah tidak serasi semasa menjalinkan hubungan semasa pertunangan, seelok-eloknya berundur dan putus dengan cara yang baik. Oleh itu, amalan undang-undang keluarga Islam berkenaan perkara ini lebih baik dan sesuai. Yang penting, tidak boleh dipaksa hati seseorang untuk berkahwin. Tepuk dada tanya selera.
Labels:
Civil Family Law,
Islamic Family Law
Friday, July 18, 2008
Undang-Undang Islam: Hak, Kepentingan Dan Kebajikan Kanak-Kanak Bahagian 3
Assalamualaikum dan hello.
Suatu perkara yang boleh dituntut kanak-kanak untuk melindungi hak, kepentingan, dan kebajikannya ialah pendidikan. Kepentingan pendidikan sudah sedia difahami dengan pembuktian yang banyak dalam al-Qur'an dan al-Sunnah. Jenis pendidikan yang perlu bagi kanak-kanak meliputi aspek rohani dan fizikal dalam batasan al-shariah iaitu usuluddin, fiqh, dan tasawwuf. Akan tetapi pengajaran mestilah mengikut pemahaman kanak-kanak itu sendiri. Seperkara lagi, tanggungjawab memberi pendidikan kepada kanak adalah tanggungjawab semua pihak. Di rumah, peranan ibu bapa amat penting. Sekirannya ibu bapa kurang ilmu, mesti dijemput ilmuwan untuk memberikan pendidikan di rumah ataupun dihantar kanak-kanak ke sekolah. Di sekolah, menjadi tanggungjawab guru untuk memberikan pendidikan kepada kanak-kanak. Tanggungjawab masyarakat sekeliling juga penting. Mereka juga ada tanggungjawab mendidik kanak-kanak secara bersama dengan ibu bapa. Contohnya, sekira kanak-kanak ke masjid jangan diherdik kanak-kanak sekirannya ada kesilapan yang dilakukan. Sepatutnya, dinasihat dengan cara yang baik kerana kanak-kanak tetap kanak-kanak. Bayangkan perasaan kita apabila dimarah akibat kesilapan yang tidak disengajakan. Di pihak kerajaan, prasarana-prasana yang Islamik harus disediakan juga. Akhirnya, kegagalan untuk mendidik kanak-kanak tersebut tanpa sebarang alasan yang kukuh akan menyebabkan kita disoal Allah s.w.t nanti.
Wassalam, terima kasih dan akan bersambung...
Tuesday, July 15, 2008
Hak, Kepentingan dan Kebajikan Kanak-kanak Bahagian 2
Assalamualaikum dan hello.
Suatu amalan yang diiktiraf perundangan Islam bagi mengukuhkan status kanak-kanak ialah amalan susuan kanak-kanak selepas lahir selama dua tahun ataupun dikenali sebagai al-rada'ah. Secara umumnya mazhab-mazhab sunni bersetuju bahawa kanak-kanak wajib dibenarkan untuk membuat tuntutan ke atas amalan tersebut. Akan tetapi mazhab-mazhab tersebut berbeza pendapat terhadap kewajipan pelaksanaannya oleh golongan wanita terutamanya si ibu. Daripada sudut keagamaan, mazhab-mazhab tersebut berpendapat bahawa si ibu mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan amalan ini. Sekirannya tidak, si ibu akan bertanggungjawab di hadapan Allah s.w.t di Akhirat nanti. Walaupun begitu, mazhab-mazhab tersebut berbeza daripada segi perundangan iaitu wajib atau tidak si ibu melaksanakan amalan tersebut. Majoriti mazhab sunni berpendapat bahawa si ibu tidak wajib melaksanakan amalan ini. Ini bermakna menjadi tugas si bapa untuk mencari wanita-wanita yang sesuai untuk melaksanakan amalan ini. Bahkan si ibu hanya wajib sekiranya: Tidak dijumpai wanita-wanita yang sesuai, kanak-kanak hanya mahukan susuan si ibu, dan si bapa sangat miskin atau kanak-kanak tiada harta. Minoriti mazhab sunni iaitu al-Malikiyyah berpendapat bahawa si ibu wajib melaksanakan amalan ini kecuali: Si ibu dikalangan golongan bangsawan atau kaya (za hasab wa qadar), si ibu sakit, dan si ibu kekurangan susu. Secara ringkasnya amalan ini menunjukkan pentingnya kanak-kanak diberikan susuan asas. Bahkan keterlibatan pihak wanita lain juga menunjukkan secara tersiratnya kesemua kita ada tanggungjawab bersama untuk melindungi kanak-kanak.
Wassalam dan terima kasih.
Monday, July 14, 2008
Hak, Kepentingan dan Kebajikan Kanak-kanak Bahagian 1
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Secara umumnya, perundangan Islam melalui al-Qur'an dan al-Sunnah mengiktiraf status kanak-kanak sebagai seorang individu yang mempunyai hak, kepentingan, dan kebajikan yang perlu dijaga dan ditegakkan dalam masyarakat. Al-Qur'an dengan jelas menerangkan kanak-kanak sebagai sumber kebahagiaan dan kebanggaan. Bukan itu sahaja, al-Qur'an menjelaskan bahawa kanak-kanak diberikan tanggungjawab yang sama seperti golongan dewasa seperti mempunyai hubungan yang langsung dengan Allah s.w.t dan bertanggungjawab dengan perbuatan-perbuatan yang dilakukan secara sukarela. Al-Sunnah pula menggambarkan tingkah laku Nabi Muhammad s.a.w yang amat menghormati dan menyayangi kanak-kanak. Baginda s.a.w suka mencium dan memeluk kanak-kanak seperti yang sentiasa dilakukan kepada anak baginda Ibrahim dan cucunya Hasan dan Husain. Bahkan, baginda s.a.w turut menitiskan air mata kesedihan apabila mendengar kematian Ibrahim. Baginda s.a.w juga sentiasa bermain-main dengan kanak-kanak dan menegur mereka yang tidak mencium, memeluk, dan bermain dengan anak-anak mereka. Sebenarnya pengiktirafan perundangan Islam ke atas status kanak-kanak bermula sejak kelahiran seorang kanak-kanak. Mengikut pandangan majoriti mazhab sunni iaitu al-malikiyyah, al-shafieyyah, dan al-hanabilah, disunatkan untuk melakukan amalan 'aqiqah melibatkan sembelihan haiwan seperti kambing atau kibas, mencukur kepala bayi, dan memberikan nama-nama yang baik selepas tujuh hari. Manakala pandangan minoriti mazhab sunni iaitu al-hanafiyyah berpendapat bahawa amalan 'aqiqah ialah suatu perkara bid'ah. Antara alasan mereka mereka ialah amalan 'aqiqah berdasarkan hadis-hadis nabawi yang berstatus ahad walaupun sahih. Mereka secara umum tidak menggunakan hadis-hadis ahad yang sahih dalam menwujudkan sesuatu hukum. Berdasarkan itu, mereka lebih mengiktiraf amalan al-adhiah ataupun amalan qurban hari raya aidil adha yang jelas dalilnya dalam al-Qur'an. Namum begitu, mereka tidak mengatakan sama ada amalan 'aqiqah itu wajib, sunnah, harus, makruh, atau haram. Mereka hanya berpendapat terpulang kepada seseorang individu itu sama ada untuk melakukannya atau tidak. Namun begitu, secara umumnya amalan 'aqiqah ini menunjukkan suatu simbolik peringatan kepada ibu bapa, ahli keluarga, dan setiap Muslim yang kelahiran seorang kanak-kanak menyebabkan mereka semua wajib untuk memulakn tugas memastikan kanak-kanak ini dapat membesar sebagai seorang Muslim yang baik pada masa hadapan.
Wassalam dan akan bersambung...
Subscribe to:
Posts (Atom)