Tuesday, January 6, 2009

Risalah-risalah Sufistik Jalaluddin Rumi 1

Bab Satu: Tuhan Bekerja Dengan Cara Yang Misteri

Maulana memulakan bicara beliau dengan mengungkapkan sabda Nabi Muhammad s.a.w yang mengingatkan kita bahawa seburuk-buruk ulamak ialah mereka yang mengunjungi penguasa dan sebaik-baik penguasa ialah mereka yang mengunjungi ulamak. Maulana berpendapat bahawa makna sebenar sabda Nabi s.a.w ialah bahawa seburuk-buruk ulamak ialah mereka yang menerima sokongan daripada penguasa. Dia melakukan tugasnya sebagai ulamak hanya kerana ingin memperolehi kesenangan daripada penguasa. Hadiah serta pemberian kesenangan daripada penguasa dijadikan tujuan utama dan pencarian ilmunya. Boleh dikatakan tujuannya ialah kerana kesenangan dirinya sendiri. Maulana berpendapat bahawa ulamak yang hakiki ialah mereka apabila mengenakan jubah keilmuannya, dia melakukan bukan kerana penguasa tetapi kerana Tuhan. Selagi mana dia berada di atas kebenaran, maka semua orang akan sentiasa menghormatinya. Dia merupakan cahaya kebaikan yang memantul kepada masyarakat disekelilingnya. Ketika ini dia merupakan tuan rumah yang sentiasa menerima tetamu setiap masa. Dia bebas dan tidak terikat kepada penguasa. Bahkan penguasa akan sentiasa menjadi tamunya. Maulana seterusnya berpendapat bahawa Tuhan mencipta dengan cara yang misteri. Sesuatu perkara mungkin kelihatan baik jika dilihat pada zahirnya tetapi mungkin pada bathinnya terdapat kejahatan. Beliau mengingatkan agar jangan sampai kita terpedaya oleh rasa kebanggaan diri. Kebanggaan yang selalu menganggap bahawa kita telah menyerap suatu gagasan yang baik atau telah melakukan amal dengan baik. Jadi sejernih dan sebaik manapun penilaian kita, betapa indah nampaknya, tidak akan lebih baik daripada penilaiannya, dia berbicara sebagaimana yang dia lakukan. Beliau menyarankan agar jangan selalu menyandarkan penilaian pada setiap fikiran dan pendapat kita, tetapi berendahlah hati kita di depan Tuhan dan takutlah kepada-Nya.

No comments: