Tuesday, December 7, 2010

Imam al-Ghazali: Pengetahuan Sesuatu Perkara

Suatu perkara boleh diketahui dengan dua kaedah. Kaedah pertama ialah pengetahuan ke atas zat sesuatu perkara seperti jisim, alam, baru atau hadis, dan lama atau qadim. Kaedah kedua ialah menisbahkan sesuatu perkara dengan perkara yang lain dengan penafian atau pengisbatan. Sebagai contoh, alam ialah suatu perkara dan begitu juga lama atau qadim. Dengan menggabungkan dua perkara ini dengan penafian, maka terjadilah suatu ungkapan iaitu bukan alam ini lama atau qadim. Perbezaan antara dua kaedah ini berkaitan dengan kebenaran dan kekarutan atau pembohongan. Kaedah kedua amat memerlukan kebenaran dan kekarutan atau pembohongan. Amat mustahil untuk kebenaran atau kekarutan di amalkan dalam kaedah pertama. Sebagai contoh, apabila seseorang itu mengatakan lama atau qadim, tidak ada kebenaran dan kekarutan atau pembohongan atas ungkapan ini. Akan tetapi, apabila kaedah kedua digunakan seperti seseorang itu mengatakan bukan alam itu lama atau qadim, maka kebenaran dan kekarutan atau boleh digunakan untuk menentukan status ungkapan ini. Segala perkara di atas boleh dikaitkan dengan pengetahuan. Pengetahuan berkait rapat dengan pengenalan atau makrifah, pengilmuan, pengambaran, dan pengesahan. Semua pengilmuan memerlukan pengesahan. Pengenalan atau makrifah sesuatu perkara terbahagi kepada dua. Yang pertama ialah pengenalan atau makrifah sesuatu perkara yang tidak memerlukan perbahasan. Sebagai contoh, lafaz perkataan perkara wujud tidak memerlukan perbahasan. Yang kedua ialah pengenalan atau makrifah sesuatu perkara yang memerlukan perbahasan dalam ruang lingkup yang munasabah.

Monday, December 6, 2010

Terlalu Ekstrem Dalam Makanan Halal?

Di Malaysia, Jakim merupakan organisasi tunggal yang mengeluar sijil halal untuk produk makanan. Ini bermakna produk yang tiada lambang halal Jakim tidak dijamin kehalalannya. Maka terdapat seruan dari sesetengah pihak untuk masyarakat Islam membeli produk yang hanya ada lambang halal Jakim sahaja kerana produk tersebut disahkan halal seratus peratus. Ini bermakna sebagai contoh, restoran-restoran yang tiada lambang halal Jakim tidak dijamin kehalalannya walaupun dimiliki dan diusahakan masyarakat Islam sendiri. Kalau kita bersetuju dengan seruan pihak tersebut, maka restoran-restoran ini harus diboikot kerana tiada lambang halal Jakim. Realitinya bukan mudah yang disangka. Di pihak pengusaha-pengusaha beragama Islam, mereka mungkin dengan mudah menyatakan tidak perlu akan lambang halal Jakim kerana keislaman mereka. Di pihak pengusaha-pengusaha bukan Islam, mereka mungkin berpendapat proses untuk mendapatkan lambang halal Jakim amat susah yang melibatkan prosedur-prosedur yang remeh dan rumit. Diharapkan agar perkara ini tidak menjadi suatu jalan untuk menjauhkan masyarakat bukan Islam daripada memahami Islam itu sendiri. Yang penting ialah penerangan yang berhikmah tentang makanan halal perlu dijalankan bagi mengelakkan salah faham antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

Majlis Kenduri Kahwin Di Masjid?

Minggu lepas kebetulan saya balik ke rumah mertua saya, saya dijemput untuk menghadiri suatu majlis perkahwinan. Majlis tersebut telah diadakan di dalam kawasan masjid. Suasana majlis tersebut agak meriah. Juadah kenduri pula disediakan secara gotong-royong. Apa yang menarik ialah kesediaan pihak pengurusan masjid tersebut untuk membenarkan majlis tersebut diadakan di situ. Ini mengingatkan saya kepada sirah nabawi di mana fungsi masjid bukan sekadar untuk solat tapi untuk perkara-perkara lain. Malangnya, kebanyakan masyarakat Islam kita masih dibelenggu dengan anggapan masjid hanya sebagai tempat solat sahaja. Saya memuji usaha pihak pengurusan masjid membenarkan aktiviti tersebut. Diharapkan pelbagai aktiviti diadakan lagi supaya idea masjid hanya sebagai tempat solat dapat dihapuskan. Kalau boleh, dijemput sekali masyarakat bukan Islam menyertai aktiviti-aktiviti tersebut. Ini haruslah dianggap sebagai usaha dakwah kerana realitinya banyak masyarakat bukan Islam yang tidak memahami Islam. Ketidakfahaman ini sedikit sebanyak disumbangkan masyarakat Islam itu sendiri.