Monday, March 2, 2009

Teori Khilafah Dan Demokrasi Dalam Islam Menurut Maududi

Salam. Allah s.w.t merupakan Tuhan yang mempunyai segala kekuasaan yang mutlak di muka bumi ini. Mereka yang dilantik untuk melaksanakan segala perintah dan undang-undang Allah s.w.t dikenali sebagai khalifah atau wakil Allah s.w.t di muka bumi ini. Dalil yang relevan ialah al-Qur'an al-Karim, surah al-nur, ayat ke-55. Dalil ini menerangkan bahawa Allah s.w.t telah menjanjikan kepada antara mereka yang beriman dan beramal soleh akan dilantik menjadi khalifah-Nya di muka bumi sebagaimana-Nya telah melantik khalifah-khalifah-Nya sebelum ini. Ulasan-ulasan ke atas dalil ini ada dua. Yang pertama, khilafah bukan merujuk kepada segala kekuasaan mutlak di muka bumi bahkan segala kekuasaan tersebut hanya milik Allah s.w.t sahaja. Tugas seorang khalifah yang dilantik hanya untuk melaksanakan segala perintah dan undang-undang Allah s.w.t. Dengan erti kata lain, khalifah mempunyai kekuasaan yang terhad berdasarkan tugasnya yang telah ditetapkan Allah s.w.t. Yang kedua, kuasa yang diberikan Allah s.w.t untuk mentadbir muka bumi diberikan-Nya kepada semua yang beriman dan bukan kepada individu-individu yang tertentu. Ini bermakna, semua yang beriman boleh dikategorikan sebagai khalifah-khalifah atas kapasiti diri mereka sendiri. Oleh itu, khalifah yang dilantik khusus untuk mentadbir muka bumi sebagaimana yang termaktub dalam dalil ini ialah mereka yang paling popular di kalangan khalifah-khalifah di kalangan semua yang beriman. Semua yang beriman ialah khalifah-khalifah atas kapasiti diri mereka sendir kerana mereka bertanggung jawab kepada Allah s.w.t atas segala perbuatan mereka. Dalil yang relevan ialah Sunnah al-Rasul s.a.w yang menekankan bahawa setiap insan ialah ketua dan setiap ketua bertanggung jawab yang yang diketuainya. Apakah yang dimaksudkan dengan khalifah yang popular? Ada 4 cadangan maksud. Yang pertama, sesebuah masyarakat di mana semua mereka ialah khalifah-khalifah yang layak untuk menyertainya mempunyai hak kesamarataan. Yang membezakan mereka ialah iman, taqwa dan akhlak peribadi masing-masing. Ada dua dalil relevan daripada Sunnah al-Rasul s.a.w. Dalil yang pertama menekan yang membezakan antara kita ialah iman dan takwa. Bahkan kita semua berasal daripada keturunan Nabi Adam a.s dan Nabi Adam a.s berasal daripada tanah. Dalil yang kedua menegaskan perkara iman dan takwa sebagai asas perbezaan. Bahkan tiada beza antara arab dan bukan arab, orang berkulit putih dan berkulit hitam. Yang kedua, semua mereka mempunyai hak untuk memajukan diri masing-masing. Ini bermakna seorang petani mempunyai hak untuk memajukan dirinya untuk menjadi calon yang sesuai menjadi khalifah sebagai contoh. Dalil yang relevan ialah Sunnah al-Rasul s.a.w yang memberi contoh iaitu kita mesti mendengar dan patuh kepada seseorang yang berkulit hitam apabila dia dilantik sebagai pemimpin kita. Yang ketiga, tiada diktator dalam pemerintahan. Ini kerana seorang khalifah popular yang dilantik mesti menyedari bahawa yang memilihnya ialah daripada kalangan khalifah-khalifah juga yang telah mendelegasikan tugas-tugas mereka kepadanya untuk mentadbir. Oleh itu, seorang khalifah popular tidak boleh memaksa yang lain mengikut kehendaknya. Sebagai contoh, dia tidak boleh memaksa yang lain untuk berpakaian sepertinya atau mengikut mazhab kegemarannya sebagai contoh. Yang keempat, semua mereka mempunyai hak untuk bersuara dan memberikan pendapat berkenaan pentadbiran. Wassalam..

No comments: