Monday, February 8, 2010

Syeikh Daud al-Fathani: Mengenal Tuhan Suatu Kefardhuan

Fokus utama daripada ilmu usuluddin ialah mengenal Tuhan , Allah s.w.t. Mengenal Tuhan merupakan suatu kefardhuan ke atas mereka yang sudah mencapai umur dewasa dan berakal. Kaedah mengenal Tuhan sudah pasti menggunakan kaedah yang tepat yang berasaskan pemahaman terhadap dua sumber utama agama Islam iaitu al-Qur'an dan juga as-Sunnah. Pemahaman terhadap kedua sumber ini yang menunjukkan jalan ke arah mengenal Allah s.w.t dianggap akan mengangkat tirai keraguan seseorang itu dan menukarkan keraguannya kepada keyakinan yang jelas dalam proses mengenal Tuhan.

Sebagai contoh, kewujudan alam semesta yang kita saksikan ini merupakan suatu tanda yang menunjukkan keadaan Tuhan yang yang mencipta alam semesta tersebut. Ia menunjukkan Tuhan yang amat berkuasa, mengetahui, dan menjadikan segala di langit dan bumi yang kita diami sekarang. Perkara ini merujuk kepada suatu tesis iaitu Tuhan yang wajib wujud, qadim, dan baqi ialah yang menguasai segala yang wujud dan yang amat nyata daripada setiap sesuatu. Oleh itu suatu kedangkalan pemahaman kita bahawa Tuhan terdinding dengan alam semesta kerana yang dianggap terdinding itu merupakan yang Maha Gagah ke atas hamba-Nya. Walaupun Tuhan tersembunyi tetapi sebenarnya terlebih zahir dan nyata daripada setiap sesuatu. Bahkan, yang terdinding sebenarnya ialah segala ciptaan-Nya terutamanya kita. Kita sebenarnya terdinding daripada Tuhan. Ini kerana cahaya Tuhan itu terlampau zahir dan nyata sehingga kita terdinding daripada merasai dan melihatnya. Asas ini boleh dikaitkan dengan anjuran daripada al-Qur'an yang menegaskan bahawa cahaya Tuhan itu terlebih hampir daripada urat leher diri kita sendiri. Persoalan kenapa kita terdinding daripada merasai dan melihat cahaya Tuhan berkaitan dengan hati kita yang penuh keraguan itu. Sekiranya keraguan itu dibuang maka ketika itu kita dibukakan hakikat kefahaman menjurus kearah merasai dan melihat cahaya Tuhan.

No comments: