Monday, December 6, 2010

Terlalu Ekstrem Dalam Makanan Halal?

Di Malaysia, Jakim merupakan organisasi tunggal yang mengeluar sijil halal untuk produk makanan. Ini bermakna produk yang tiada lambang halal Jakim tidak dijamin kehalalannya. Maka terdapat seruan dari sesetengah pihak untuk masyarakat Islam membeli produk yang hanya ada lambang halal Jakim sahaja kerana produk tersebut disahkan halal seratus peratus. Ini bermakna sebagai contoh, restoran-restoran yang tiada lambang halal Jakim tidak dijamin kehalalannya walaupun dimiliki dan diusahakan masyarakat Islam sendiri. Kalau kita bersetuju dengan seruan pihak tersebut, maka restoran-restoran ini harus diboikot kerana tiada lambang halal Jakim. Realitinya bukan mudah yang disangka. Di pihak pengusaha-pengusaha beragama Islam, mereka mungkin dengan mudah menyatakan tidak perlu akan lambang halal Jakim kerana keislaman mereka. Di pihak pengusaha-pengusaha bukan Islam, mereka mungkin berpendapat proses untuk mendapatkan lambang halal Jakim amat susah yang melibatkan prosedur-prosedur yang remeh dan rumit. Diharapkan agar perkara ini tidak menjadi suatu jalan untuk menjauhkan masyarakat bukan Islam daripada memahami Islam itu sendiri. Yang penting ialah penerangan yang berhikmah tentang makanan halal perlu dijalankan bagi mengelakkan salah faham antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

No comments: