Tuesday, December 7, 2010

Imam al-Ghazali: Pengetahuan Sesuatu Perkara

Suatu perkara boleh diketahui dengan dua kaedah. Kaedah pertama ialah pengetahuan ke atas zat sesuatu perkara seperti jisim, alam, baru atau hadis, dan lama atau qadim. Kaedah kedua ialah menisbahkan sesuatu perkara dengan perkara yang lain dengan penafian atau pengisbatan. Sebagai contoh, alam ialah suatu perkara dan begitu juga lama atau qadim. Dengan menggabungkan dua perkara ini dengan penafian, maka terjadilah suatu ungkapan iaitu bukan alam ini lama atau qadim. Perbezaan antara dua kaedah ini berkaitan dengan kebenaran dan kekarutan atau pembohongan. Kaedah kedua amat memerlukan kebenaran dan kekarutan atau pembohongan. Amat mustahil untuk kebenaran atau kekarutan di amalkan dalam kaedah pertama. Sebagai contoh, apabila seseorang itu mengatakan lama atau qadim, tidak ada kebenaran dan kekarutan atau pembohongan atas ungkapan ini. Akan tetapi, apabila kaedah kedua digunakan seperti seseorang itu mengatakan bukan alam itu lama atau qadim, maka kebenaran dan kekarutan atau boleh digunakan untuk menentukan status ungkapan ini. Segala perkara di atas boleh dikaitkan dengan pengetahuan. Pengetahuan berkait rapat dengan pengenalan atau makrifah, pengilmuan, pengambaran, dan pengesahan. Semua pengilmuan memerlukan pengesahan. Pengenalan atau makrifah sesuatu perkara terbahagi kepada dua. Yang pertama ialah pengenalan atau makrifah sesuatu perkara yang tidak memerlukan perbahasan. Sebagai contoh, lafaz perkataan perkara wujud tidak memerlukan perbahasan. Yang kedua ialah pengenalan atau makrifah sesuatu perkara yang memerlukan perbahasan dalam ruang lingkup yang munasabah.

No comments: