Sunday, January 24, 2010

Syeikh Daud al-Fathani: Asas Sepuluh Perkara

Syeikh Daud al-Fathani menganjurkan agar kita memahami sepuluh perkara terlebih dahulu sebelum menganalisa secara mendalam ilmu tauhid atau ilmu usuluddin. Sepuluh perkara yang dicadangkan beliau tersebut berkenaan had, isi, pelopor, nama, kesudahan, hukum, permasalahan, sumber, faedah, dan nisbah.

Beliau berpandangan bahawa had ilmu tauhid atau ilmu usuluddin iaitu suatu ilmu berkaitan aqidah keagamaan yang di ambil daripada pelbagai dalil atau pelbagai bukti yang yakin atau kukuh.

Berkaitan isi ilmu tauhid atau usuluddin, beliau mengaitkannya dengan zat Allah s.w.t dan zat segala para nabi dan rasul-Nya dari konteks wajib, mustahil, dan harus.

Pelopor bidang ilmu tauhid atau ilmu usuluddin menurut pandangan beliau tidak lain tidak bukan Abu Hassan al-Asy'ari r.a. Beliau menceritakan bahawa Abu Hassan r.a. yang pada mulanya mendalami ilmu tauhid berasaskan fahaman tauhid aliran muktazilah telah meninggalkan fahaman tersebut setelah mendapat petunjuk Allah s.w.t. Maka Abu Hassan r.a. dianggap beliau sebagai individu pertama yang mempelopori ilmu ini yang berasaskan al-Qur'an, as-Sunnah, dan ijma' para Sahabat Nabi Muhammad s.a.w.

Nama bagi ilmu tauhid atau ilmu usuluddin menurut pandangan beliau adalah pelbagai seperti ilmu tauhid, ilmu usuluddin, ilmu sifat, ilmu aqidah, dan ilmu kalam.

Beliau berpandangan bahawa kesudahan ilmu tauhid atau ilmu usuluddin ialah kelebihan untuk membezakan antara aqidah yang sahih dan fasid.

Berkaitan hukum ilmu tauhid atau ilmu usuluddin, beliau berpandangan bahawa hukumnya wajib diketahui oleh setiap individu yang mukallaf.

Berkaitan permasalahan ilmu tauhid atau ilmu usuluddin, beliau memberi contoh-contoh permasalahan berkaitan jauhar dan 'aradh, sifat-sifat Tuhan, dan sebagainya.

Sumber ilmu tauhid atau ilmu usuluddin menurut pandangan beliau ialah al-Qur'an dan as-Sunnah.

Beliau berpandangan bahawa faedah-faedah ilmu tauhid atau ilmu usuluddin ialah kebahagiaan di dunia dan di akhirat, di masukkan ke dalam syurga yang abadi, serta dapat melihat akan wajah Allah s.w.t yang tidak seperti-Nya sesuatu.

Akhirnya, nisbah ilmu tauhid atau ilmu usuluddin ini ialah sebahagian ilmu agama Islam.

No comments: