Friday, March 19, 2010

Ibn Daqiq al-'Aid r.a: Ulasan Hadis 40 - Hadis 1

Hadis 1 yang dinyatakan Imam an-Nawawi ialah hadis yang masyhur berkenaan niat. Hadis ini menerangkan bahawa sesuatu amal itu dimulakan dengan niat. Sekiranya niat itu kerana Allah s.w.t dan Rasul-Nya, maka amalan itu akan menuju ke arah Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Sekiranya niat itu bukan kerana Allah s.w.t dan Rasul-Nya, maka amalan itu akan menuju ke arah apa yang diniatkan si pelaku amal tersebut.

Status hadis ini ialah sahih dan diriwayatkan Imam al-Bukhari dan juga Imam Muslim.

Imam as-Syafi'e r.a dan Imam Ahmad r.a menganggap bahawa hadis ini mempunyai martabat satu pertiga daripada ilmu. Imam al-Baihaqi menjelaskan bahawa amal manusia terjadi dengan hatinya, lisannya, dan tubuh badannya. Bahkan, niat merupakan salah satu daripada tiga komponen tersebut. Imam as-Syafi'e r.a menjelaskan bahawa hadis ini termasuk tujuh puluh bab dalam ilmu fiqh. Manakala para ulamak lain menjelaskan bahawa hadis ini mempunyai martabat satu pertiga daripada agama Islam.

Akhirnya, hadis ini kerap disebut oleh para ulamak di permulaan penulisan kitab-kitab berkaitan agama Islam sama ada daripada segi usuluddin, syariah, dan tasawwuf.

No comments: