Friday, March 19, 2010

Imam an-Nawawi: Kelebihan Membaca al-Qur'an

Kelebihan membaca al-Qur'an boleh diterjemahkan melalui ayat-ayat al-Qur'an dan juga hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

Ayat-ayat al-Qur'an mengibaratkan mereka yang membaca al-Qur'an secara terang atau rahsia sebagai individu-individu yang mengharapkan sebuah perniagaan yang tidak akan binasa. Bahkan mereka mengharap agar Allah s.w.t akan melimpahi mereka dengan segala ganjaran dan kelebihan akibat perniagaan tersebut(al-Fathir,29-30). Ini menunjukkan bahawa pembacaan al-Qur'an membawa kepada ganjaran-ganjaran kebaikan yang akan diberikan Allah s.w.t kepada si pembaca al-Qur'an tersebut.

Hadis-hadis Rasulullah s.a.w juga menerangkan kelebihan membaca al-Qur'an. Rasulullah s.a.w sebagai contoh menerangkan bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang mempelajari dan mengajar al-Qur'an (al-Bukhari). Rasulullah s.a.w juga sebagai contoh mengharuskan seseorang itu ada sifat dengki terhadap mereka yang mengamalkan al-Qur'an siang dan malam daripada sudut untuk meniru sifat mereka yang mengamalkan al-Qur'an tersebut (al-Bukhari dan Muslim). Sebagaimana yang kita ketahui, setiap Muslim tidak boleh mempunyai sifat dengki kerana sifat ini ialah sifat yang tidak baik. Akan tetapi, setiap Muslim diharuskan bersifat dengki dengan mereka yang sentiasa membaca al-Qur'an. Bersifat dengki disini merujuk kepada keazaman setiap Muslim untuk juga berlumba-lumba membaca al-Qur'an pada setiap masa dan ketika.

Akhirnya, al-Qur'an bukan sahaja kalam Allah s.w.t yang menunjukkan pedoman tetapi merupakan ganjaran bagi setiap Muslim yang membacanya. Ganjaran-ganjaran yang dijanjikan Allah s.w.t semestinya dianggap setiap Muslim suatu bentuk motivasi untuk setiap Muslim tidak melupakan al-Qur'an yang merupakan sumber utama agama Islam.

No comments: