Monday, March 8, 2010

Syeikh Daud al-Fathani: Sebab Ilmu Diperolehi

Sebab-sebab sesuatu ilmu itu diperolehi ialah tiga iaitu, pancaindera, khabar yang shadiq, dan aqal.

Melalui pancaindera, seseorang itu akan mengetahui segala suara melalui pendengaran telinga, segala rupa dan warna melalui penglihatan mata, segala bauan melalui penggunaan hidung, segala rasa melalui penggunaan lidah, dan segala suasana panas dan sejuk melalui anggota tubuh badan yang lain. Akan tetapi, ilmu yang didapati ialah terhad kepada penggunaan pancaindera tersebut. Sebagai contoh, segala suara hanya didapati melalui pendengaran telinga dan bukan melalui penglihatan mata.

Khabar yang shadiq pula terbahagi kepada dua iaitu, khabar yang mutawatir dan khabar Rasulullah melalui mukjizat.

Khabar yang mutawatir ialah yang terhasil daripada percakapan sesuatu kumpulan yang muwafakat dan mustahil untuk mereka melakukan pendustaan. Khabar ini diwajibkan ke atas ilmu yang tidak berkehendak kepada analisa dan usaha seperti pengetahuan berkenaan para raja, kerajaan yang terdahulu seperti kerajaan nabi Sulaiman a.s. Maka pengetahuan tentang perkara ini tidak memerlukan analisa dan bebas daripada sebarang elemen pendustaan.

Khabar Rasulullah melalui mukjizat terbahagi kepada dua iaitu, khabar yang dikuatkan dengan mukjizat dan khabar yang keluar melalui percakapan Rasulullah. Khabar ini diwajibkan ke atas ilmu berasaskan analisa daripada segala dalil.

Kedua khabar yang mutawatir dan khabar Rasulullah menghasilkan keyakinan. Cuma yang berbeza ialah segala ilmu berasaskan khabar Rasulullah dihasilkan melalui analisa mereka yang pakar dalam ilmu ini. Sedangkan segala ilmu berasaskan khabar yang mutawatir tidak disyaratkan begitu.

Aqal juga merupakan punca sesuatu ilmu itu diperolehi. Ia juga menerbitkan keyakinan seperti kita mengetahui bahawa satu itu setengah daripada dua. Ini dihasilkan melalui dalil melalui pemerhatian.

Oleh itu, integrasi ketiga-tiga sebab ilmu diperolehi di atas tidak dapat dielakkan demi merealisasikan peranan individu sebagai hamba Allah s.w.t di dunia ini.

No comments: