Monday, July 14, 2008

Hak, Kepentingan dan Kebajikan Kanak-kanak Bahagian 1

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Secara umumnya, perundangan Islam melalui al-Qur'an dan al-Sunnah mengiktiraf status kanak-kanak sebagai seorang individu yang mempunyai hak, kepentingan, dan kebajikan yang perlu dijaga dan ditegakkan dalam masyarakat. Al-Qur'an dengan jelas menerangkan kanak-kanak sebagai sumber kebahagiaan dan kebanggaan. Bukan itu sahaja, al-Qur'an menjelaskan bahawa kanak-kanak diberikan tanggungjawab yang sama seperti golongan dewasa seperti mempunyai hubungan yang langsung dengan Allah s.w.t dan bertanggungjawab dengan perbuatan-perbuatan yang dilakukan secara sukarela. Al-Sunnah pula menggambarkan tingkah laku Nabi Muhammad s.a.w yang amat menghormati dan menyayangi kanak-kanak. Baginda s.a.w suka mencium dan memeluk kanak-kanak seperti yang sentiasa dilakukan kepada anak baginda Ibrahim dan cucunya Hasan dan Husain. Bahkan, baginda s.a.w turut menitiskan air mata kesedihan apabila mendengar kematian Ibrahim. Baginda s.a.w juga sentiasa bermain-main dengan kanak-kanak dan menegur mereka yang tidak mencium, memeluk, dan bermain dengan anak-anak mereka. Sebenarnya pengiktirafan perundangan Islam ke atas status kanak-kanak bermula sejak kelahiran seorang kanak-kanak. Mengikut pandangan majoriti mazhab sunni iaitu al-malikiyyah, al-shafieyyah, dan al-hanabilah, disunatkan untuk melakukan amalan 'aqiqah melibatkan sembelihan haiwan seperti kambing atau kibas, mencukur kepala bayi, dan memberikan nama-nama yang baik selepas tujuh hari. Manakala pandangan minoriti mazhab sunni iaitu al-hanafiyyah berpendapat bahawa amalan 'aqiqah ialah suatu perkara bid'ah. Antara alasan mereka mereka ialah amalan 'aqiqah berdasarkan hadis-hadis nabawi yang berstatus ahad walaupun sahih. Mereka secara umum tidak menggunakan hadis-hadis ahad yang sahih dalam menwujudkan sesuatu hukum. Berdasarkan itu, mereka lebih mengiktiraf amalan al-adhiah ataupun amalan qurban hari raya aidil adha yang jelas dalilnya dalam al-Qur'an. Namum begitu, mereka tidak mengatakan sama ada amalan 'aqiqah itu wajib, sunnah, harus, makruh, atau haram. Mereka hanya berpendapat terpulang kepada seseorang individu itu sama ada untuk melakukannya atau tidak. Namun begitu, secara umumnya amalan 'aqiqah ini menunjukkan suatu simbolik peringatan kepada ibu bapa, ahli keluarga, dan setiap Muslim yang kelahiran seorang kanak-kanak menyebabkan mereka semua wajib untuk memulakn tugas memastikan kanak-kanak ini dapat membesar sebagai seorang Muslim yang baik pada masa hadapan.

Wassalam dan akan bersambung...

No comments: