Tuesday, July 15, 2008

Hak, Kepentingan dan Kebajikan Kanak-kanak Bahagian 2

Assalamualaikum dan hello.
Suatu amalan yang diiktiraf perundangan Islam bagi mengukuhkan status kanak-kanak ialah amalan susuan kanak-kanak selepas lahir selama dua tahun ataupun dikenali sebagai al-rada'ah. Secara umumnya mazhab-mazhab sunni bersetuju bahawa kanak-kanak wajib dibenarkan untuk membuat tuntutan ke atas amalan tersebut. Akan tetapi mazhab-mazhab tersebut berbeza pendapat terhadap kewajipan pelaksanaannya oleh golongan wanita terutamanya si ibu. Daripada sudut keagamaan, mazhab-mazhab tersebut berpendapat bahawa si ibu mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan amalan ini. Sekirannya tidak, si ibu akan bertanggungjawab di hadapan Allah s.w.t di Akhirat nanti. Walaupun begitu, mazhab-mazhab tersebut berbeza daripada segi perundangan iaitu wajib atau tidak si ibu melaksanakan amalan tersebut. Majoriti mazhab sunni berpendapat bahawa si ibu tidak wajib melaksanakan amalan ini. Ini bermakna menjadi tugas si bapa untuk mencari wanita-wanita yang sesuai untuk melaksanakan amalan ini. Bahkan si ibu hanya wajib sekiranya: Tidak dijumpai wanita-wanita yang sesuai, kanak-kanak hanya mahukan susuan si ibu, dan si bapa sangat miskin atau kanak-kanak tiada harta. Minoriti mazhab sunni iaitu al-Malikiyyah berpendapat bahawa si ibu wajib melaksanakan amalan ini kecuali: Si ibu dikalangan golongan bangsawan atau kaya (za hasab wa qadar), si ibu sakit, dan si ibu kekurangan susu. Secara ringkasnya amalan ini menunjukkan pentingnya kanak-kanak diberikan susuan asas. Bahkan keterlibatan pihak wanita lain juga menunjukkan secara tersiratnya kesemua kita ada tanggungjawab bersama untuk melindungi kanak-kanak.
Wassalam dan terima kasih.

No comments: